Tarikh dan lokasi Ijtima Malaysia 2012 di sidebar. Semoga kita dan rakan-rakan turut mengambil bahagian. Pada masa yang sama di bulan Jun, diadakan Ijtima Indonesia 2012. Do`a dan luangkan masa.
Karguzari
jemaah khuruj di Nicaragua, Amerika Selatan ‘Seluruh keluarga masuk Islam’
Karguzari
(laporan) ini disampaikan dalam bayan asar Jord KL pada 17.1.2010, safar jemaah
Maulana Syamim ke Malaysia.
Pembayan
mengatakan;
❝ Usaha
ini, tanggungjawab ini boleh dikatakan lebih daripada fardhu. Kita dapat lihat,
bagaimana apabila seseorang manusia, dia keluar di jalan Allah Subhanahu wa Taala,
maka begitu banyak perubahan berlaku dalam kehidupannya. Manusia yang dahulunya
jauh daripada Allah Subhanahu wa Taala, telah kembali ke jalan yang benar.
Manusia yang mana kehidupannya
dalam keadaan kucar-kacir, kelam-kabut, kehidupannya yang jauh melanggar
perintah-perintah Allah Subhanahu wa Taala, maka dengan berkat dia keluar di
jalan Allah Subhanahu wa Taala ini, maka kita lihat agama telah datang dalam
kehidupannya. Maka dengan usaha yang kita buat ini, mengajak manusia kepada
Allah Subhanahu wa Taala, berjuta-juta perintah Allah akan hidup dalam
kehidupan manusia.
Sebaliknya, jika meninggalkan
kerja agama ini, manusia tidak keluar di jalan Allah Subhanahu wa Taala,
berjuta-juta perkara yang haram berleluasa di atas muka bumi ini. Oleh itu,
untuk mengajak manusia keluar di jalan Allah Subhanahu wa Taala, supaya dia
dapat usaha ke atas dirinya ini, 1 perkara yang sangat-sangat penting.
Jika kita tidak menghantar
jemaah ke negara-negara jauh yang berada di pinggir kekufuran, maka apakah akan
terjadi kepada mereka. Kita lihat sekarang apabila kita hantar jemaah ke
tempat-tempat seperti ini, manusia yang jauh daripada Allah Subhanahu wa Taala,
mereka telah kembali kepada Allah Subhanahu wa Taala. Oleh itu, sangatlah
penting hari ini supaya umat digerakkan, keluar di jalan Allah Subhanahu wa Taala.
Jadi tuan-tuan mulia, dengan
Allah Subhanahu wa Taala mengeluarkan kita di jalan Allah, betapa masa yang
telah diberikan, ini menunjukkan Allah telah pilih kita untuk menjalankan 1
usaha yang sangat mulia ini. Inilah pilihan Allah Subhanahu wa Taala, yang mana
apabila kita menjalankan kerja ini, maka nusrah yang Allah telah berikan kepada
sahabat-sahabat Nabi Shalla‘Allahu Alaihi wa Sallam, yang keluar ke jalan Allah
Subhanahu wa Taala, maka nusrah yang sama juga Allah Subhanahu wa Taala akan
berikan kepada kita yang keluar ke jalan Allah Subhanahu wa Taala.
Dan ini tuan-tuan yang mulia, 1
kemuliaan yang Allah Subhanahu wa Taala telah berikan kepada kita, di mana
apabila kita menjalankan kerja ini, Allah Subhanahu wa Taala akan berikan
kepada kita ketenteraman, kebahagiaan, kemenangan dan Allah akan berikan kepada
kita keselesaan dalam kehidupan dunia ini. Jadi, satu kerja yang amat mulia
Allah Subhanahu wa Taala telah berikan kepada kita yang mana bila kita jalankan
kerja ini, bantuan Allah, nusrah Allah yang Allah berikan kepada sahabat
-sahabat Nabi, Allah juga berikan kepada
kita hari ini.
1 jemaah pergi ke Nicaragua,
Selatan Latin Amerika. 1 malam, orang datang ajak jemaah itu untuk pergi ke 1
rumah. Mereka ini berbahasa Sepanyol. Di sana ada 1 orang tua yang berasal
daripada negara Syria dalam keadaan nazak hampir meninggal DUNIA.
Keluarganya beritahu bahawa
ayah mereka memberikan wasiat iaitu dia inginkan jenazahnya diuruskan oleh
orang Islam. Maka mereka pun mencari dan dengan izin Allah Subhanahu wa Taala,
mereka telah jumpa jemaah ini. Jemaah ini sempat datang ke rumahnya dan
menalkinkannya untuk ucap kalimah syahadah. Dengan izin Allah Subhanahu wa
Taala, dia telah mengucap kalimah syahadah sebelum dia meninggal DUNIA. Maka
jemaah ini telah menguruskan jenazahnya dengan begitu baik sebagaimana yang
sepatutnya, seolah-olah seperti memperkebumikan saudaranya sendiri.
Maka anak-anak orang tua ini
dan isteri dia yang tidak beriman telah melihat bagaimana jemaah ini
menguruskan jenazah dan seluruh keluarga ini telah memeluk agama Allah Subhanahu
wa Taala.
Tuan-tuan yang mulia cubalah
kita bayangkan, jika jemaah ini sampai ke tempat itu lewat dalam masa sehari,
bagaimanakah kesan kerugian yang akan berlaku. Oleh itu tuan-tuan yang mulia,
kita yang berada di jalan Allah Subhanahu wa Taala ini adalah sumber
hidayat, di mana 1 minit berada di jalan Allah, mungkin di dalam 1 minit itu
terletak berjuta-juta hidayat Allah Subhanahu wa Taala kepada manusia
dan sebaliknya jika kita duduk di rumah, maka berapa ramaikah manusia akan
hilang peluang untuk dapat hidayat daripada Allah Subhanahu wa Taala.
Oleh kerana itu tuan-tuan yang
mulia, Allah Subhanahu wa Taala telah pilih kita di dalam usaha agama
ini, ini satu tanggungjawab yang begitu berat, yang memberikan kesan begitu
besar kepada manusia di atas muka bumi ini. ❞
Karguzari
bayan ini boleh mendengarnya di 'tab bayan' atau memuat turun di bawah ini,
box.net Rakan Blog.
Bayan
Asar 1 - http://www.box.net/shared/sjm16ara68
Bayan
Asar 2 - http://www.box.net/shared/gok70tqhrs
Bayan
Maghrib - http://www.box.net/shared/eceegz07nq
Bayan
Subuh - http://www.box.net/shared/y08yja2qvg
.
.
.
Bayan
dan Karguzari Jemaah Australia
Bayan
maghrib berserta karguzari(laporan) disampaikan oleh jemaah Australia di Masjid
Jamek Bandar Baru Seri Petaling pada 4 Muharam 1429 bersamaan 13hb Januari
2008. Teks bayan ini bersumber atau ditulis oleh Azharjaafar.
Ringkasan
bayan: (selepas memuji Allah dan berselawat kepada Nabi Shalla ‘Allahu Alaihi
wa Sallam dan membaca 2 potong ayat Al ‘Quran)
1. Allah Subhanahu wa Taala
telah pilih kita untuk lahir sebagai orang Islam. Sebelum kita lahir ke DUNIA,
kita tidak pernah diberi pilihan untuk menjadi muslim atau pun kafir.
Semata-mata dengan sifat rahim Allah telah menjadikan kita sebagai seorang
muslim. Jadi, kita kena bersyukur atas nikmat ini.
2. Allah telah menghantar kita
sebagai umat Muhammad Shalla‘Allahu Alaihi wa Sallam dengan 1 maksud yang
sangat besar iaitu sebagaimana maksud semua Nabi telah dihantar.
3. Allah Subhanahu wa Taala telah jadikan manusia
mempunyai jasad dan roh. Perkara paling berharga bagi manusia (supaya jasad dan
roh ini dapat dimanfaatkan) adalah masa. Seorang yang kematian isteri, boleh
cari isteri yang lain. Seorang yang kematian anak, boleh dapat anak yang lain.
Seorang yang rumahnya terbakar, boleh cari rumah yang lain. Seorang yang
perniagaannya bankrap, boleh bina perniagaan yang lain. Tetapi seorang yang
telah berlalu masanya, masa itu tidak dapat diganti semula. Masa yang berlalu
akan terus pergi buat selama-lamanya.
4. Allah Subhanahu wa Taala begitu
kasih kepada orang-orang beriman sehingga menjadikan sekecil-kecil perkara
sebagai sebab penghapus dosa. Sehingga tercucuk duri pun Allah Subhanahu wa Taala
akan hapuskan dosa dari buku catatan. Diceritakan kisah seoarng raja kafir yang
zalim ketika hendak mati berhajat untuk makan sejenis makanan yang sukar didapati.
Allah Subhanahu wa Taala telah perintah malaikat untuk dapatkan makanan itu
untuk raja tersebut. Selepas makan, raja itu telah mati. Dalam kisah yang lain
pula seorang alim yang warak ketika hendak mati telah meminta sedikit air.
Apabila orang datang membawa air, Allah Subhanahu wa Taala telah perintah
kepada malaikat untuk tepis cawan sehingga air tertumpah dan orang warak itu
mati tanpa dapat minum air. Kedua-dua malaikat telah datang mengadap Allah dan
mengadukan hal tersebut. Allah berfirman kepada kedua malaikat tersebut bahawa
ketika hidup, raja yang zalim tersebut dia telah buat satu kebaikan dan Allah
hendak mambalas kebaikan tersebut di DUNIA dan azab yang kekal menantinya di
akhirat kerana kekafirannya. Manakala orang warak tersebut telah berbuat 1 dosa
ketika hidup dan Allah Subhanahu wa Taala hendak menghapuskan dosa tersebut
ketika di DUNIA dan memberikan keselamatan kepadanya di akhirat.
5. Di akhirat nanti, orang yang
dalam hatinya ada iman walau sebesar zarah akan dikeluarkan juga akhirnya dari
neraka. Manakala orang kafir akan kekal di dalamnya.
6. Dakwah dan iman adalah 2
perkara yang berkaitan. Adanya dakwah maka adalah iman. Jika dakwah tiada, maka
iman akan keluar dari hati-hati manusia. Nabi Allah Nuh Alayhis Sallam telah
buat usaha dakwah selama 950 tahun siang dan malam. Kemudian baginda telah berdoa
supaya jangan ditinggalkan di atas DUNIA ini walaupun 1 orang kafir. Maka Allah
telah hantar banjir yang besar dan menenggelamkan semua orang kafir. Yang
terselamat hanyalah Nabi Allah Nuh Alayhis Sallam dan orang-orang yang beriman.
Selepas kewafatan Nabi Allah Nuh Alayhis Sallam, dakwah telah terhenti. Dari
keturunan orang yang beriman tadi akhirnya telah kembali kufur kepada Allah.
7. Pada kurun ke-18, orang
British telah menakluki Australia dan mendapati ada 3 buah gurun yang besar di
sana. Untuk menyelesaikan masalah pengangkutan mereka telah membawa 120 ekor
unta untuk digunakan mengangkut barang-barang di padang pasir. Oleh kerana
mereka tidak tahu mengendalikan unta, maka mereka telah membawa ramai
orang-orang Islam dari benua India yang kebanyakannya berketurunan afghan. Di kalangan
pekerja-pekerja ini terdapat sejumlah bilangan dari golongan ulama. Ulama-ulama
ini telah membina 60 masjid dan 3 daripadanya yang berusia lebih 100 tahun
masih bertahan sehingga kini. Malangnya bila usaha dakwah ditinggalkan,
keturunan dari mereka ini tidak kenal Islam walaupun nama-nama mereka seperti
nama-nama Islam.
8. Pada suatu masa, ada jemaah
yang bergerak telah dibawa untuk jumpa 3 wanita tua dari keturunan
pekerja-pekerja tersebut, yang masing-masing berumur lebih 85 tahun. Ternyata
mereka tidak tahu apa-apa mengenai amalan Islam kecuali kalimah Laailaha
illallah, Muhammadur Rasulullah. Bila mereka nampak jemaah memegang tasbih
ditangan, mereka mengatakan bapa-bapa mereka dahulu memegang tasbih seperti
kamu. Jemaah telah menghadiahkan kepada mereka tasbih tersebut dan mereka rasa
sungguh gembira.
9. Laporan 1 jemaah lagi yang
buat usaha di Thursday Island. Di sana, 90% penduduknya adalah dari keturunan
Islam. Tetapi amalan Islam telah lenyap dari diri mereka. Jemaah telah dibawa
berjumpa seorang lagi wanita tua berusia lebih 80 tahun. Bila wanita tua ini
terlihat saja kepada jemaah (yang dalam keadaan berjanggut, berjubah,
berserban), maka dia telah menjerit dengan mangatakan, ‘Muslim has come, muslim
has come.’ Dia telah keluarkan 1 beg dari bawah katil dan tunjuk kepada jemaah
peninggalan arwah bapanya berupa sejadah dan beberapa kitab selawat. Perempuan
tua itu bercerita semasa umurnya 10 tahun, bapanya telah meninggal DUNIA.
Sebelum itu dia sempat berwasiat, ‘You don’t be worry. Muslim will come and
take Of you because muslim are always taking care Of each other.’ Perempuan tua
itu menambah, ‘And I have been waiting for you (muslim) for 70 years.’
*(Pembayan telah sebak dan
menangis. Juga, kami yang dengar bayan).
10. Pembayan memberi laporan
bahawa beliau telah berpindah ke Australia dari Tanah Arab pada tahun 1968.
Walaupun ada 80 ribu orang Islam di Melbourne tetapi hanya ada 1 masjid sahaja.
Itupun dibuka 2 kali setahun untuk solat hari raya. Solat Jumaat hanya dibuat
oleh 3 - 4 orang disebuah surau yang lain. Beliau ada mendengar laporan bahawa
jemaah pertama dihantar ke Australia adalah pada tahun 1962. Jemaah ini hanya
mampu menangis dan berdoa apabila melihat keadaan agama pada umat.
11. Jemaah seterusnya dihantar
pada tahun 1973. Jemaah ini balik dan beri laporan kepada Hadraji (amir dakwah
dan tabligh) bahawa orang Islam di Australia sudah tiada harapan. Hadraji tidak
berputus asa dan menghantar jemaah lagi pada tahun 1974 & 1975. Pada tahun
1975 ini, 3 orang tempatan (termasuk abang pembayan) telah bersedia untuk
menghidupkan amalan ziarah pintu ke pintu untuk bertemu dengan orang-orang
Islam. Beberapa lama amalan ini berterusan, mereka telah bermesyuarat dan
memutuskan untuk meminta kunci masjid. Kunci masjid telah diberi kepada mereka
dengan senang hati dan semenjak itu masjid tersebut tidak pernah ditutup lagi
sehingga ke hari ini.
12. Amal-amal masjid telah
dihidupkan. Jemaah-jemaah telah dikeluarkan dan usaha telah berkembang.
Alhamdulillah, sekarang telah ada lebih 80 masjid dan surau di Melbourne.
Madrasah-madrasah telah wujud. Anak-anak yang dulunya belajar di madrasah
sekarang telah mengajar pula. Pembayan berkata, dengan matanya sendiri dia
dapat melihat apabila dakwah ditinggalkan, dari keturunan ulama akan lahir orang-orang
kufar. Apabila dakwah dijalankan, dari keturunan kufar, lahirnya ulama.
13. Kerja ini bukanlah kerja
main-main. Bukan kerja yang dibuat jika suka, dan ditinggal jika malas. Ini
adalah kerja, tanggungjawab kita sebagai umat Nabi Shalla‘Allahu Alaihi wa
Sallam walaupun kita bukan Nabi. Ini adalah perintah Allah kepada kita.
14. Bila kita buat kerja ini,
Allah pasti akan beri hidayat kepada manusia. Seluruh manusia sekarang sedang
menanti-nanti kedatangan kita sebagai orang Islam kepada mereka (seperti kisah
orang tua tadi).
15. Tashkil (ajakan untuk
khuruj fisabilillah di jalan Allah).
# Semasa tashkil, pembayan
menambah: "Jika seorang bapa menyuruh anaknya yang kecil terjun dari
sebuah tempat tinggi dan dia akan menyambutnya; maka jika anaknya terjun,
bapanya akan segera menyambut dan memeluk anaknya dengan kasih sayang dan tidak
akan biarkan anaknya jatuh ke bawah. Allah Subhanahu wa Taala lebih-lebih lagi
kasih kepada hambanya dan suruh kita terjun dalam usaha dakwah. Sekali-kali
Allah tidak akan biarkan kita jatuh dan mendapat kesusahan. Pasti Allah Subhanahu
wa Taala akan menyambut dan memeluk kita dengan rahmatNya."
.
.
.
Karguzari:
Bayan Chile dan Argentina
Beberapa karguzari (laporan)
negara jauh, Chile dan Argentina daripada pembayan, Hafiz Wajiullah semasa di
Jord Zon Tengah pada 11hb Jun 2010. Bayan Urdu diterjemahkan kepada bahasa Malayu.
Bayan ini boleh didengar melalui siaran Radio Islam Nusantara atau boleh memuat
turun bayan ini di sidebar.
Pembayan & mutarjim (penterjemah)
mengatakan:
"Tuan-tuan yang mulia,
jemaah kami telah pergi ke Santiago, Chile, kami pergi ke sana, maka 250 orang
pemuda dan pemudi datang kepada kami dan mereka datang untuk mengetahui tentang
Islam, untuk mengetahui tentang kebenaran Nabi Muhammad Shalla‘Allahu Alaihi wa
Sallam dan untuk mengetahui tentang kebenaran Isa Alayhis Sallam. Maka tuan-tuan
yang mulia, yang membawa mereka adalah Allah Subhanahu wa Taala, dan tidak ada
siapa yang pergi mengajak mereka datang, mereka sendiri datang, mereka berkata
dengan harapan, "Kami akan masuk Islam."
Tuan-tuan yang mulia, jemaah
kami pergi ke Argentina, seorang pemuda telah menemui kami. Dia mengatakan
keinginannya untuk memeluk agama Islam. Kami khuatir, mungkin yang datang ini
adalah daripada penyiasat atau orang-orang yang nak menguji kami. Jadi kami
memikirkan lebih baik sekiranya dia datang pada hari Ahad kerana pada hari Ahad
itu, ramai kawan-kawan kami bercuti dan dia boleh diIslamkan di depan
kawan-kawan yang lain. Dia tidak datang pada hari Ahad bahkan dia datang pada
hari Isnin.
Setelah dia datang pada hari
Isnin, dia beritahu kepada jemaah, "Adakah untuk masuk Islam perlu pada
hari ahad? Jika seandainya saya mati sebelum hari Ahad, di hari Kiamat nanti
saya akan beritahu kepada Tuhan, "Wahai Allah, sesungguhnya saya telah
datang untuk memeluk agama Islam, tetapi mereka telah menangguhkan saya, untuk
lewatkan saya masuk Islam." Maka saya dengar apa kata pemuda tadi, terus
saya mandikan dia dan masukkan dia kepada agama Islam.
Jadi tuan-tuan yang mulia. Di
seluruh DUNIA, hati sudah lembut untuk masuk Islam. Hati sudah bersedia dan
lembut untuk masuk Islam. Tuan-tuan yang mulia, sekiranya kita hari ini bangun
dengan usaha dakwah, dengan meninggalkan keluarga kita, meninggalkan anak
isteri kita, meninggalkan urusan-urusan
pekerjaan kita, kita pergi ke seluruh DUNIA dan kita dakwahkan kepada kalimah
tauhid, dakwah kepada Allah yang Maha Esa, pasti dan pasti seluruh DUNIA akan
datang kepada iman.
Tuan-tuan yang mulia, oleh
kerana kita tidak buat kerja dakwah, kita telah tinggalkan kerja agama, yakin
kita dengan yakin orang kafir sama sahaja? Sepertimana yakin orang kafir dengan
hartalah . . . kita boleh bina kehidupan kita, kita boleh selamat, begitulah
orang-orang Islam pun berkata sedemikian, dengan hartalah kita boleh buat
segala-galanya. Nampaknya, keyakinan yang rosak ini tuan-tuan yang mulia kerana
kita orang Islam telah meninggalkan kerja asal orang Islam. Oleh itu tuan-tuan
yang mulia, sangat perlu kita semua bangun dan pergi ke seluruh DUNIA, pelusuk DUNIA,
untuk menyampaikan dakwah tauhid ini kepada manusia.
Tuan-tuan yang mulia, sekiranya
orang Islam hari ini bangun untuk buat kerja agama, kerja dakwah, maka Allah
Subhanahu wa Taala akan kembalikan suasana agama, suasana orang masuk Islam
sepertimana di zaman Baginda Rasulullah Shalla‘Allahu Alaihi wa Sallam.
Sepertimana yang beliau (pembayan) membacakan firman Allah sebentar tadi,
apabila datangnya bantuan Allah Subhanahu wa Taala, kamu akan lihat manusia
akan datang dan masuk Islam berbondong-bondong. Bahkan tuan-tuan yang mulia,
kita kena bangun untuk buat usaha dakwah ini. Katanya, bumi/hati-hati manusia
sudah lembut untuk menerima Islam.
Sewaktu jemaahnya berada di Argentina,
kami pergi ke satu kampung, kampung yang jauh dan di sana kami lihat, ada orang
islam 360 orang atau pun 370 orang Islam kesemuanya, masyaAllah, mereka
mengikuti sunnah dan berserban. Kami bertanya, "Bagaimana kamu memeluk
agama Islam?" Dia menjawab, "Ada 2 orang syeikh daripada Cyprus telah
datang dan ajak kami kepada Islam." Maka tuan-tuan yang mulia, begitulah
bumi/hati -hati manusia sudah lembut, kita kena bangun dan bergerak.
Dia (pembayan) berkata, seorang
wanita telah datang dan masuk Islam. Apabila dekat waktu malam, kami beritahu
kepadanya, kamu pergilah daripada sini. (baca: ahli-ahli jemaah kesemuanya
adalah lelaki). Maka dia enggan dan dia pun tidak bersedia meninggalkan jemaah.
Akhirnya, kami telah panggil orang Islam di sana dan meminta dia difahamkan
supaya meninggalkan jemaah. Maka wanita tadi menangis dan berkata, "Wahai
orang Islam, mana saya nak pergi? saya telah terima Islam." Saya beritahu
kepadanya bahawa kamu pergilah ke mana-mana, kamu cari seorang lelaki Islam dan
kahwinlah dengannya untuk selamatkan Islam kamu.
Maka itu tuan-tuan yang mulia,
begitulah keadaan dunia hari ini, di seluruh DUNIA memang sudah bersedia untuk
datang kepada Islam, memeluk agama Islam. Tetapi tuan-tuan yang mulia, bukan
masalah orang kafir masuk Islam, bukan masalah orang Amerika masuk Islam, bukan
masalah orang Kanada masuk Islam, bukan masalah orang South Africa masuk Islam,
masalah yang sebenarnya, kita orang Islam kena menjadi benar-benar orang Islam,
kita orang Islam supaya mempunyai akidah dan keyakinan yang betul, kehidupan
orang Islam dapat meniru kehidupan Nabi Muhammad Shalla‘Allahu Alaihi wa Sallam,
kehidupan orang Islam dapat mengikuti kehidupan Nabi Muhammad Shalla‘Allahu
Alaihi wa Sallam. Tuan-tuan yang mulia, inilah masalah yang sebenarnya. Apabila
kita orang Islam bangun buat usaha dakwah, Allah Taala akan secaraAmnya mengumumkan
hidayat kepada seluruh manusia di DUNIA."
No comments:
Post a Comment